2008

photo_2017-10-01_21-47-03
Tempat jatuh bangunku.

Waktu itu, kau pimpin aku. Kehangatan genggamanmu, menentramkan segenap jiwa. Dua insan mulia itulah yang menemani aku agar dapat melintasi gerbang permulaan sebuah perjalanan. Perjalanan yang begitu panjang, penuh suka duka.

Dahulu, engkaulah sumber kekuatan. Kau meniupkan semangat pada diri yang tiada hala tuju. Harapanmu menggunung tinggi, tingginya menjangkau penglihatanku. Setiap kali aku memasuki taman itu, aku diselubungi ketakutan jika cita-citamu tidak dapat aku gapai. Dan setiap kali itu juga, terasa kedamaian yang meresap segenap jiwa. Dua perasaan yang sering berlumba. Begitu sukar perjalanan ke taman itu. Malas, letih, takut. Namun, lebih sukar lagi untuk aku tinggalkan ia. Kerana terlalu cinta.

Bait demi bait dilantunkan. WahyuMu berlegar pada penglihatan, pendengaran dan kotak memori.

Sekalipun ia tidak tempias pada hati,
Tidak digambarkan oleh kelakuan
hatta tidak diberikan secalit erti dalam kehidupan!
Namun kau tetap di situ.
Mendoakan.

Justeru bukan sahaja cita-citamu aku pikul. Cita-cita mereka turut mengiringi perjalanan ini.

Di taman itu juga, tempat aku bertemu bidadari-bidadari syurga. Keseragaman pakaian menyatukan identiti kita. Apatah lagi keseragaman niat yang tidak lain pengikat hati-hati kami.

Di taman itu, aku diberi peluang mengenal Murshidah-murshidah yang membara semangatnya. Yang terpilih olehNya. Dua ribu sembilan, antara detik yang dirindui. Aku mula mencintai perjalanan yang dipilihkan. Tetapi, apakah sama jalan yang dipilih dan yang terpilih?

Bangunan, bidadari dan nawaitu. Kemana hilangnya aku yang dahulu? 😥

2017. Hampir sedekad aku di sini. Ada yang memujuk, “perjuangan adalah selamanya. Jangan berhenti.” Ada yang bertanya, bertubi-tubi, “bila dapat kami lihat natijahnya?”

Aku? Bagai si roda. Semangat aku kadang merundum jatuh. Kadang terbang tinggi. Kadang…tiada nadi lagi.
Sehingga mereka berhenti bertanya.
Dia pun tidak memimpin lagi.
Cita-cita mereka yang mengiringi jalan ini, entah mana pergi…

Aku sedar. Kekuatan boleh diambil di mana saja.
Sandaran datang dan pergi. Ia pinjaman yang tak mungkin selamanya di sisi.

Meskipun perjalanan ini bermula kerana dia.
Disuburkan dengan cita-cita mereka.
Namun yang meniti perjalanan ini adalah aku.
Perginya mereka tidak boleh menggoyahkan aku.
Kerana sebenarnya, perjalanan ini dipilih olehNya.

Ya Allah, pilihlah aku. Meski aku tahu kelayakan itu jauh sekali.
Tidak setanding pilihanMu, pejuang-pejuang agamaMu yang terdahulu.
Pimpinlah aku.
Temani aku dalam perjalanan ini dikala ramai mahupun sedikit

You are my constant. You have been and will always be. InshaAllah.

 

 

One thought on “2008

Leave a reply to siskien Cancel reply