Pada pagi yang indah, telah tertulis akan pertemuan seorang pelajar berkain merah jambu dengan seorang Atuk berkopiah putih.
Bukan seperti hari-hari biasa, pagi itu, si pelajar begitu resah. Dirinya gelisah dan semangatnya sangat rendah. Fikirannya berkecamuk ditambah lagi dengan Peperiksaan A-level yang semakin hampir.
Atuk: Assalamualaikum *senyum*
Saya terkejut sebenarnya. Sapaan Atuk benar-benar mengetuk minda untuk cuba mencerna seawal 6.30 pagi dan hati untuk merasa sedangkan keduanya sibuk melayan emosi remaja.
Doa Atuk saya cepat-cepat balas seiring Sunnah yang amat mudah itu.
Saya: Waalaikumussalam *senyum*
Pada saat itu, hanya tiga perkara yang terlintas di fikiran.
Saya menjeling jam di tangan.
1) Paginya saya keluar hari ni? 6.30 pagi? Walhal perjalanan ke sekolah hanya memakan paling kurang 15 minit dengan menaiki bas. Kemudian saya melihat Atuk itu. Pakaiannya seakan ingin ke pejabat. Awalnya Atuk? Hati ingin sekali bertanya namun mulut begitu berat.
Pandangan dilontarkan ke luar tingkap bas.
2) Tiba-tiba terasa aura positif menyelinap dalam diri. Mungkin senyuman Atuk yang secara tidak langsung memaksa diri ini untuk membalasnya merupakan punca aura ini. Sunnah yang mudah itu berjaya meringankan bebanan fikiran. Tidak hairanlah cikgu pernah menasihati kami agar perkara pertama yang perlu dilakukan saat kami bangun adalah untuk senyum pada diri sendiri di hadapan cermin. Kerja yang aneh? Oh tidak~ Buktinya saya rasa sangat positif pagi itu~
3) Sapaan Atuk juga mengingatkan saya akan Hadith yang telah dipelajari bagi memenuhi silibus subjek Syariah yang akan diduduki tidak lama lagi. Peranan memberi salam pada yang kita mengenali mahupun tidak. MashaAllah Atuk. Pagi itu saya berasa sangat kagum pada insan bernama Atuk. Atuk berjaya melaksanakan Sunnah Rasulullah sollallahu alaihi wassalam. Sementara saya? Hanya sekadar teori?
وعن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما أن رجلا سأل رسول الله صلى الله عليه وسلم: أي الإسلام خير؟ قال:”تطعم الطعام، وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف”.((متفق عليه)
Dari ‘Abdullah bin Amr bin Ash radiallahu ‘anhuma, ada seorang laki-laki bertanya kepada Nabi (ﷺ): “Islam bagaimana yang bagus?” Nabi (ﷺ) menjawab: “Engkau memberi makan ( kepada orang yang memerlukan), mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenal dan yang tidak engkau kenal.” [Al-Bukhari and Muslim]
Sejak hari itu, pertemuan dengan Atuk termasuk senarai sebab-sebab saya keluar awal! Saya suka keluar awal kerana tidak perlu tergesa-gesa, tempat duduk di bas juga banyak, dapat mengulangkaji pelajaran, dapat berjalan-jalan di perkarangan sekolah, menyapa teman-teman dan asatizah dan yang paling penting, tidak perlu ditahan oleh pengawas. Alahai rindu saat-saat itu!
Sejak hari itu juga, saya berlumba untuk memberi salam terlebih dahulu sebelum Atuk.
Sejak tamatnya pengajian di sekolah berkain merah jambu hinggalah saat diterima masuk ke universiti tempatan, saya tidak berkesempatan bertemu Atuk. Setiap kali teringatnya, hanya doa yang mampu dikirimkan. Buat Atuk di bas, Atuk di utara dan Atuk yang sedang berehat disamping Sang Pencipta. Moga Allah redha akan mereka semuanya.
Sehinggalah 6 hari yang lalu…
Atuk?
Saya menyapanya sambil mengambil tempat disampingnya dengan sebuah kerusi sebagai jarak diantara kami. Imejnya tidak berubah sejak setahun yang lalu. Mungkin sejak melangkah masuk ke universiti, saya menjadi lebih berani untuk memulakan bicara. Saya bertanya tentang tugasnya. Ternyata tempat kerjanya sangat dekat dengan kampus saya. Terharu saya apabila Atuk masih ingat lagi pada pelajar berkain merah jambu itu! Hehehe.
Sebarkan salam~ 🙂


Reblogged this on Race to Goodness and commented:
Tetiba rindu.
Rindu pada semua yang pernah ku memanggil mereka dengan gelaran atuk ❤
Allahummaghfir lahum, warhamhum, wa 'afihim, wa'fu 'anhum.
LikeLike