Hujan membasahi bumi pada tengah hari Jumaat. Seakan tahu isi hati seorang Insyirah. Air mata tiba-tiba mengalir laju setelah perbualan berakhir. Bosnya telah menelefon untuk bertanyakan khabar setelah 3 bulan menyepi, tidak ke tempat kerja, lantaran baru melahirkan seorang cahaya mata.
Bos bukan apa, dia hanya ingin Insyirah mengambil keputusan yang tidak terburu-buru, apatah lagi keputusan yang tidak difikir masak-masak.
Insyirah sebak kerana ini merupakan langkah yang besar. Tipu jika dia tidak rasa peluang ini nampak “disia-siakan”. Setelah 4 tahun mengejar segulung ijazah, kini ingin menjadi suri rumah sepenuh masa?
Namun bos tidak sekali pun memaksa atau mengatakan ianya sia-sia. Bahkan keputusan yang tampak seperti pengorbanan ini adalah suatu yang dia pernah lalui bersama isterinya sendiri. Justeru itu, dia khuatir jika Insyirah akan menyesal suatu hari nanti. Dia hanya ingin pastikan Insyirah telah bermusyawarah bersama suami dan tahu bahawa dengan tinggalnya seorang sahaja pencari nafkah dalam keluarga, adakah Insyirah bersedia untuk meniti hidup dengan lebih cermat?
Insyirah diam seribu bahasa, mendengarkan setiap bait bosnya itu. Hatinya sayu kerana dia tahu tidak mudah untuk mencari bos yang baik seperti bosnya kini. Dia juga tahu, dia baru setahun jagung dalam industri ini. Dia tidak ada pengalaman yang mencukupi seandainya dia ingin kembali bekerja suatu hari nanti.
Fokus si Insyirah sekarang hanyalah si kecil. Naluri ibunya tidak sanggup meninggalkan Hadif, yang hanya 2 bulan, di tempat pengasuhan kanak-kanak kecil. Dia tidak mahu ketinggalan dalam menyaksikan setiap pencapaian Hadif.
Lagi pula, dia tidak dapat bayangkan keletihan yang datang bersama jika pekerjaan dan menjadi ibu digalas seiringan. Dia akur dia bukan seorang super mum.
“Okay, I respect whatever decision you make. Please send me the letter and I will settle with HR.“
Ya Allah, kenapa hati tiba-tiba berat untuk meninggalkan pekerjaan ini? Rakan-rakan sekerja seperjuangan yang sama-sama menahan perit letih industri yang menggabungkan kerja sosial dan medikal? Tak dinafikan kepuasannya luar biasa.
Insyirah cepat-cepat muhasabah dan fikirkan kembali segala asbab yang telah membuatnya ingin cepat-cepat meletak jawatan.
Fuhhh, banyak juga negatifnya 😦
Insyirah ingin sekali sujud dan berdoa dalam solat istikharah namun tidak dapat dilakukannya kerana masih tersisa lagi darah nifas. Insyirah mampu berdoa, di hari jumaat yang barakah, berbekalkan hujan rahmat yang Esa,
“Ya Tuhan, moga ini keputusan yang baik untuk dunia akhiratku.” sambil memeluk si kecil Hadif.
“Sayang ibu Hadif, for you a thousand times over.”






