Syahadah: Tak Sedia Sebab…

moon-2849367_960_720

Pada malam itu, Syahidah agak runsing. Fikirannya tidak jelas dan hatinya tidak tenteram. Malu pula rasanya hendak berterus terang pada kededua Ummi dan Abahnya. Namun, dia tidak sanggup menahan kerisauan yang meluap-luap dalam diri.

Sejurus solat Isyak, Syahidah mendekati kededua Ummi dan Abahnya yang sedang bersiap untuk menjamu makan malam bersama.

“Ummi…Abah…Syahidah masih tak sedia…”

Terserlah kerisauan pada raut wajah Ummi.

“Syahidah belum habis berbakti pada Ummi Abah. Inikan pula nak jadi isteri orang…” Syahidah meneruskan bicara. Matanya tidak berkedip sambil merenung dua insan yang amat dia sayangi.

Ummi kelihatan tenang sambil tersenyum pada sang suami. Mungkin 2 dekad lebih dalam menyusuri alam rumah tangga telah mengubah cara mereka berkomunikasi hingga dapat berbicara menggunakan isyarat mata.

“Idah, kerana tu Ummi Abah pesan, cari seseorang yang bukan sahaja berbakti pada ibu ayahnya tapi akan bantu syahidah berbakti pada orang tua syahidah sendiri.” Ujar umminya lembut sambil menyenduk nasi ke pinggan.

Ketenangan mula menyelinap di segenap organ bernama hati. Syahidah terasa tenang mendengar jawapan Ummi.

Jujur, fikirnya. Jujur dia masih mentah dalam menjalani kehidupan kerana banyak lagi perkara yang dia tidak tahu. Jujur, dia masih tekapai-kapai dalam menjadi insan solehah muslihah mardhiah. Tetapi, dia tidak boleh menafikan keperluannya terhadap seorang sayap kiri, penenang hati untuk memimpin dirinya menuju Ilahi.

“Ya Allah, kurniakanlah kami pasangan yang akan saling melengkapi…yang baik untuk diriku, kehidupanku, agamaku, dan akhiratku. Aameen.” Syahidah berbisik dalam munajatnya pada malam yang diterangi bulan purnama. Bulan pada malam itu nampak penuh, sepenuh hatinya untuk meneruskan langkah selanjutnya.

Leave a comment