Syahidah dilanda persoalan demi persoalan. Acara semalam tak mampu dia lenyapkan dari terus berlegar. Sesaat bibirnya tersenyum sendiri. Kemudian tercelik dari fikiran-fikiran itu kerana khuatir akan persoalan-persoalan kelmarin.
Malam itu sangat istimewa. Jika dia mampu, dia ingin sekali agar memori semalam kembali beraksi dalam alam nyata. Semalam merupakan kali pertama seseorang yang amat dia segani, menjejakkan kaki ke acara yang telah Syahidah bertungkus lumus merancang dan mempersiapkan. Segenap hatinya tidak mahu jika si dia hadir.
“Apa katanya nanti? Acara aku langsung tak menggambarkan bi’ah solehah seperti acara-acara di sekolahnya,” getus hati Syahidah.
Akhir-akhir ni, mereka kerap membalas mesej tentang kehidupan, pengharapan dan kata-kata motivasi.
“Astaghfirullah…Kenapa aku layan mamat ni eh?” fikirnya setiap kali dia membalas mesej darinya. Namun begitu, setiap mesej yang dikirim, mempunyai haknya. Mempunyai hujjah dan asbab mengapa ia dihantar. Bagi Syahidah, mengimbangi kelakuan sebagai seorang yang beragama dan berprinsip perlu diamalkan di mana sahaja. Jika dia perlu membalas mesej kaum adam yang berlatar belakangkan agama lain, mengapakah pula dia terasa berat untuk melakukan yang sama dengan saudara seagama?
Jika difikirkan kembali…Syahidah terasa aneh namun bersyukur kerana si dia, seorang yang langsung tidak dia endahkan apatah lagi untuk berurusan dengan sewaktu zaman menengahnya itu, tiba-tiba berminat untuk menghadiri acaranya yang serba kekurangan. Perasaan malu, gementar dan bahagia bercampur saat si dia, yang dikenali sebagai Haaris menyuarakan hasratnya untuk turut hadir.
–
“Mari saya tunjukkan musollanya” Syahidah bersuara.
“Baiklah” singkat sahaja jawapan Haaris.
Lain betul kelakuan Haaris. Syahidah perasan bahawa kelakuan dan kata-kata Haaris boleh dikatan agak mencuit hati dan selalunya lucu sewaktu belajar dahulu. Aura yang dibawa juga lain. Perasaan kagum mula timbul di sudut hati Syahidah. “Mashallah…” hanya itu yang mampu Syahidah ungkapkan pada dirinya sendiri.
–
“Idah, tu ke kawan awak?” Fatimah bertanya. Amirah pula sibuk mencari-cari sosok yang yang dikatakan Fatimah.
“Sudah-sudahlah tu cari Haaris. Jangan obvious sangat boleh?” Syahidah yang mukanya mula berubah merah cuba mengalihkan perhatian teman-temannya.
“Eh, eh dia nampaklah kita tengok dia!” Fatimah membuat muka terperanjat.
“Aduhaai kawan, oh kawan…” Syahidah mampu beristighfar.
Oh Tuhan, perasaan apakah ini? Ditepis permainan hati itu dengan pantas. Banyak petanda telah hadir sejak kebelakangan ini. Namun, ia bukan syarat mengapa Syahidah harus tewas dengan perasaan. Ia mungkin permainan si licik, syaitan.
–
Malam itu, segalanya berubah.
Setiap kata dari sang penyampai, seorang Ustaz dan seorang HalalFood blogger menusuk ke dalam hatinya, dicerna olehnya.
Syahidah mula muhasabah. Bermula dengan asal niat acara itu diadakan. Lalu mengapa acara itu perlu berjalan lancar. Ia bukan kerana kehadiran seseorang, namun kerana itqan. Allah suka jika hambaNya melakukan kerja dengan sebaik-baik kualiti. Excellence.
Terima kasih ya Allah, kerana memberiku peluang untuk mengubah niatku sebelum terlambat…Syahidah bermonolog sendiri sewaktu penyampai masih bersemangat berkongsi di hadapan.
Perkongsian berkisar pada topik seperti pemakanan halal. Bagaimana seseorang yang menjaga hak Allah, seperti pemakaian tudung bukan sahaja dapat menarik rezeki yang halal kerana masyarakat di sekeliling memahami tuntutan agama kita, ia turut menjaga kita daripada gangguan manusia di luar sana.
Tema pada malam itu tidak terhenti pada halalnya sebuah pemakanan. Syahidah dan tetamu-tetamu yang hadir turut disajikan dengan topik tentang hubungan yang halal.
Syahidah terasa kehadiran nasihat itu sangat tepat masanya. Saat hatinya diuji. Saat dirinya tidak mencari yang sebenarnya.
Hatinya kembali tenang tatkala Ustaz mengingatkan mereka bahawa jodoh dan ajal telah lama ditentukan. Dan apa yang dimaksudkan dengan usaha, merupakan usaha yang patut dilakukan dalam perkara yang sudah sekian lama diamanahkan pada kita. Kewajipan sebagai seorang hamba, anak dan pelajar. Usaha kita perlu ditumpukan pada hal-hal yang sudah pasti.
Acara itu pun berakhir dengan indahnya. Tipu jika ia tidak menguji ahli-ahli komiti itu. Tipulah juga jika semuanya berjalan lancar. Perlahan-lahan Syahidah mendongak pada langit yang cerah pada malam itu. Suasana yang nyaman dan damai dan pengisian yang sarat dengan hikmah.
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”
Sayu hatinya apabila teringatkan ayat kegemarannya itu.
–
Di setiap sujudnya, dikirim pengharapan pada Tuhan, dipanjatkan doa penuh keinsafan dan diluahkan segala yang terbuku.
“Oh Tuhan, pinjamkanlah hati ini, perasaan yang engkau redhai. Hilangkan segala perasaan yang mampu membawa diriku jauh dariMu…”
Perlahan-lahan dia bangun dari tikar sembahyang. Dilipat dengan elok dan disidai di bingkai katil. Malam itu telah menyaksikan hati yang menuntut fitrah untuk mencintai dan dicintai. Malam itu juga telah merakamkan hati yang sebenarnya merindukan penciptaNya…
