Memaafkan lebih baik

Dalam era yang serba canggih ini, kita sebagai pengguna mestilah bijak dalam pengurusan teknologi yang kian melalui perubahan yang pesat.

Pengurusan dari segi apa?

Pengurusan alat itu sendiri secara sistemetik dan juga pengurusannya terhadap pengguna lain.

Dalam pada itu, saya ingin mengambil peluang ini sebagai ruangan untuk muhasabah bersama-sama.

Kebelakangan ini, saya mendapati fenomena “menjaga last seen”  atau “menjaga hati orang lain melalui last seen”. Saya berpendapat bahawa ‘last seen’ (salah satu ciri daripada aplikasi telefon bijak, Whatsapp) membawa beberapa manfaat. Antaranya ialah, pemberitahuan secara tidak langsung kepada rangkaian kenalan anda bahawa anda belum melihat mesejnya. Sebagai contoh, A mengemukakan soalan kepada B pada jam 2 petang. Selang beberapa minit menantikan respons B, A cuba melihat pada ‘last seen’ B lalu ternyata ia belum menjenguk aplikasi itu sejak 12 tengah hari. Di sini, A tidaklah mengandaikan perkara yang negatif terhadap B kerana lewat membalas mesejnya. Dalam situasi ini, ‘last seen’ berperanan untuk mengkhabarkan pengguna lain akan keadaan kenalannya.

Situasi kedua. Senario pada dasarnya adalah serupa tetapi kali ini, B telah melihat aplikasi itu selepas jam 2 petang. Sebagai manusia biasa, kita akan mudah terasa apabila seseorang sudah pun berada di tempat yang sama namun tidak mengendahkan kehadiran kita. Sebagai pengguna yang bijak, A mestilah bersikap positif dan tidak berburuk sangka. Mungkin B terlepas pandang mesejnya 🙂
Jika perkara ini berlarutan… Maka ketahuilah, itulah cerminan peribadinya sendiri. Usah bersedih, usah berburuk sangka. Maafkan dia yang mungkin alpa.

Situasi ketiga. Terus mengehadkan ‘last seen’ anda kepada diri anda sendiri. Ini bermakna, rangkaian kenalan anda tidak dapat melihatnya. Bagi saya, inilah pilihan yang terbaik bagi menjaga hati setiap pengguna. Tidak perlu bersusah mencari alasan mengapa lewat untuk membalas mesejnya A. A juga tidak perlu bersusah mendidik hati untuk tidak menyalahkan B. Bahagia!

Kesimpulannya, perkara kecil sebegini usah dibesarkan atau dijadikan punca saling tidak berpandangan. Setelah meneliti beberapa situasi di atas, bukankah ada cara yang mudah untuk menyelesaikan kegusaran hati itu? Malah, agama telah pun menggariskan beberapa panduan kehidupan. Lalu kita sebagai umat Islam mestilah berusaha mencari panduan-panduan itu dan mengamalkannya. Antaranya ialah untuk mengambil sikap bersabar dan bersyukur dalam apa jua keadaan.

Ke arah kehidupan yang bahagia. Bahagia kini dan InshaAllah juga di sana, 

Leave a comment